Syukur (Ar:asy-syukr = ucapan, perbuatan, dan sikap terima kasih atau
al-hamd; pujian). Dalam ilmu tasawuf : ucapan, sikap dan perbuatan
terima kasih kepada Allah SWT dan pengakuan yang tulus atas nikmat dan
kurnia yang diberikan-Nya.
Nikmat yang diberikan Allah SWT kepada manusia sangat banyak dan
bentuknya bermacam-macam. Setiap detik yang dilalui manusia dalam
hidupnya tidak pernah lepas dari nikmat Allah SWT. Nikmatnya sangat
besar dan banyak sehingga bagaimanapun juga manusia tidak akan
menghitungnya (QS.16:18). Sejak manusia lahir ke dunia dalam keadaan
tidak tahu apa-apa, kemudian diberi Allah pendengaran, penglihatan, dan
hati (QS.16:78) sampai meninggal dunia menghadap Allah SWT di akhirat
kelak ia tidak akan lepas dari nikmat Allah SWT.
Secara garis besar nikmat itu dapat dibahagi dua, iaitu (A) nikmat
yang menjadi tujuan dan (B) nikmat yang menjadi alat untuk mencapai
tujuan. Nikmat dan tujuan utama (A) yang ingin dicapai oleh umat Islam
ialah kebahagian di akhirat. Adapun ciri-ciri nikmat ini adalah: (1)
kekal, (2) diliputi oleh kebahagian dan kesenangan, (3) sesuatu yang
mungkin dapat dicapai, dan (4) dapat memenuhi segala kebutuhan manusia.
Sedangkan nikmat yang kedua (B) meliputi: (1) kebersihan jiwa dalam
bentuk iman dan akhlak yang mulia; (2)”kelebihan tubuh”, seperti
kesihatan dan kekuatan; (3) hal-hal yang membawa kesenangan jasmani,
seperti harta, kekuasaan, dan keluarga; dan (4) hal-hal yang membawa
sifat-sifat keutamaan, seperti hidayat, petunjuk, pertolongan dan
lindungan Allah SWT.
Menurut Imam al-Ghazali, syukur merupakan salah satu makam
(darjat/stage) yang paling tinggi dari sabar, khauf (takut) kepada Allah
SWT, dan lain-lain. Adapun kesyukuran itu merupakan makam yang mulia
dan pangkat yang tinggi sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud
dalam surah al-Nahl:114, “Dan bersyukurlah nikmat Allah, jika kamu
memang hanya menyembah kepada-Nya sahaja”.
Cara bersyukur kepada Allah ada tiga: (1) bersyukur dengan hati,
iaitu mengakui dan menyedari sepenuhnya bahawa segala nikmat yang
diperolehi berasal dari Allah SWT dan tiada seseorang pun selain Allah
SWT yang dapat memberikan nikmat itu; (2) bersyukur dengan lidah, iaitu
mengucapkan secara jelas ungkapan rasa syukur itu dengan kalimah al-hamd
li Allah (segala puji bagi Allah); dan (3) bersyukur dengan amal
perbuatan, iaitu mengamalkan anggota tubuh untuk hal-hal yang baik dan
memanfaatkan nikmat itu sesuai dengan ajaran agama.Yang dimaksud dengan
mengamalkan anggota tubuh ialah menggunakan anggota tubuh itu untuk
melakukan hal-hal yang positif dan diridai Allah SWT, sebagai perwujudan
dari rasa syukur tersebut.
Misalnya, jika seseorang memperolehi nikmat harta benda, maka ia
mempergunakan harta itu sesuai dengan jalan Allah SWT. Jika nikmat yang
diperolehinya berupa ilmu pengetahuan, ia akan memanfaatkan ilmu itu
untuk keselamatan, kebahagian, dan kesejahteraan manusia dan diajarkan
ilmunya kepada orang lain; bukan sebaliknya, ilmu yang diperolehi
digunakan untuk membinasakan dan menghancurkan kehidupan manusia. Wujud
dari syukur kepada Allah SWT yang nyata ialah melaksanakan segala
perintah dan menjauhi segala larangan Allah SWT.
Untuk anggota tubuh, misalnya, Imam Ghazali menegaskan bahawa
mensyukuri anggota tubuh yang diberikan Allah SWT meliputi tujuh anggota
yang penting, iaitu (1) Mata, mensyukuri nikmat ini dengan tidak
mempergunakannya untuk melihat hal-hal yang maksiat; (2) telinga,
digunakan hanya untuk mendengarkan hal-hal yang baik dan tidak
mempergunakannya untuk hal-hal yang tidak boleh didengar; (3) lidah,
dengan banyak mengucapkan zikir, mengucapkan puji-pujian kepada Allah
SWT, dan mengungkapkan nikmat-nikmat yang diberikan Tuhan sesuai dengan
firman Allah SWT dalam surah ad-Duha ayat 11 yang bermaksud ” Dan
terhadap nikmat Tuhanmu maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (dengan
bersyukur)” ; (4) tangan, digunakan untuk melakukan kebaikan-kebaikan
terutama untuk diri sendiri, mahupun untuk orang lain, dan tidak
mempergunakannya untuk melakukan hal-hal yang haram; (5) perut, dipakai
hanya untuk memakan makanan yang halal/baik dan tidak berlebih-lebihan
(mubazir). Makanan itu dimakan sekadar untuk menguatkan tubuh terutama
untuk beribadat kepada Allah SWT; (6) kemaluan (seksual), untuk
dipergunakan di jalan yang diridai Allah SWT (hanya bagi suami istri)
dan disertai niat memelihara diri dari perbuatan yang haram; (7) kaki,
digunakan untuk berjalan ke tempat-tempat yang baik, seperti ke masjid,
naik haji ke Baitullah (Ka’bah), mencari rezeki yang halal, dan menolong
sesama umat manusia.
Di samping hal-hal tersebut, syukur kepada Allah SWT dilakukan pula
dalam bentuk sujud syukur setelah seseorang mendapat nikmat dalam bentuk
apa sahaja, mahupun kerana lulus dari musibah dan bencana. Sujud ini
hanya dilakukan sekali dan di luar sembahyang. Dalam sebuah hadis
riwayat Abu Dawud disebutkan: ” Apabila Nabi Muhammad SWT memperolehi
sesuatu yang menggembirakan, baginda tunduk bersujud kerana Allah SWT.”
Bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat yang diberikan-Nya merupakan
kewajiban manusia, baik dilihat dari sudut fitrahnya, mahupun
berdasarkan nas syarak atau hukum Islam (Al-Qur’an dan hadis). Manfaat
yang diperolehi dari tindakan bersyukur itu sebenarnya dirasakan oleh
manusia yang bersangkutan, antara lain untuk mengekalkan nikmat yang ada
dan menambahkan nikmat lain yang berlimpah luah. Sebagaimana Allah SWT
berfirman dalam surah ibrahim ayat 7 yang bermaksud “….Sesungguhnya jika
kamu bersyukur, pasti Kami akan menambahkan (nikmat) kepadamu dan jika
kamu ingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”
Maksudnya, apabila orang bersyukur atas nikmat Allah SWT, maka akan
diberikan-Nya tambahan nikmat. Sebaliknya, orang yang tidak mahu
bersyukur (kufur nikmat) akan mendapat siksa yang pedih.
Sayugialah hendaknya, setiap manusia tidak melihat kesenangan orang
lain yang telah dikurniakan-Nya dalam segala macam kenikmatan dengan
pandangan irihati dan kagum, kerana itu akan menyebabkan manusia
tersebut menghina nikmat Allah yang diterimanya serta memperkecilkan
kurnia itu. Sepatutnya manusia tidak terlalai untuk mensyukuri nikmat
Allah terhadapnya. Hal ini mungkin menyebabkan nikmat-nikmat itu dicabut
oleh Allah SWT serta dipindahkan dari dirinya. Itulah semua adalah
timbul dari sikap tidak bersyukur terhadap nikmat dan tiada mengapa adab
dan tertib kepada Tuhannya.
Sebaiknya, hendaklah manusia redha terhadap bahagian yang telah
ditentukan Allah bagi dirinya, serta tidak lupa mensyukuri segala
nikmat-nikmat yang dikurniakan untuknya. Sesudah itu, pohonlah tambahan
dari kurnia-kurnia Tuhan itu sebanyak yang perlu, kerana perbendaharaan
langgit dan bumi itu adalah dalam genggaman Allah SWT, dan segala rezeki
sesuatu ada di dalam tangan-Nya, Dia menggerakkan setiap sesuatu
menurut kehendak-Nya sendiri, sedangkan Dia berkuasa atas segala
sesuatu.
Mudah-mudahan ianya menjadi renungan kita bersama dalam mensyukuri
segala kurnia-Nya dan menjadikan kita termasuk golongan manusia yang
bersyukur atas rezeki dan kelebihan yang dianugerahkan ke atasnya,amin
rabbal-alamin.
Disediakan oleh :
Sdr Drs Mohd Salleh Albakri,M.A bin Haji Mohd Tahir
Setiausaha Abim Kawasan Kuantan
Mantan Ketua Komisaris Mahasiswa Pemikiran Modern Dalam Islam, Program
Pascasarja IAIN Sulthan Syarif Qasim, Indonesia (2000-2002)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar